Khamis, 13 Ogos 2009

PAK DHARMA KEMBALI KE RAHMATULLAH


Alfatihah. Pada hari Rabu (12 Ogos 2009) pukul 1.45am, Abdul Muluk Daud ataupun lebih dikenali sebagai Pak Dharma telah menghembuskan nafas yang terakhir.

Allahyarham Pak Dharma seorang budayawan dan sasterawan Melayu yang menulis pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi,rencana, skrip drama pentas, tv dan filem. Pemenang hadiah sastera nasional 1974 kategori cerpen. Pemenang sayembara novel Yayasan Sabah Gapena 1979 dan 1981. Pemenang hadiah cerpen Esso-Gapena 1981 dan 1982. Jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan 1990-2003. Pak Dharma juga merupakan pengendali blog PRIMA begitu mementingkan Bahasa Melayu sehingga setiap perjuangan yang dilakukan oleh beliau direalisasikan dengan aktiviti-aktiviti bacaan puisi dan sebagainya.

Jenazah Pak Dharma telah dibawa ke kediamannya di Taman Sri Gombak untuk diberi penghormatan terakhir dan kemudian dibawa ke masjid Al-Khiriyah untuk dimandikan dan dikafankan. Tepat pukul 2.15pm jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Kg Bachang Mantin, Petaling, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan dimana jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah wakaf perkuburan Triang, bersebelahan dengan makam anakanda Allahyarham iaitu Allahyarham Ikram Hafiz.

Semoga roh Allahyarham Pak Dharma dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. -Amin.

Tiada ulasan: