Jumaat, 19 Disember 2008

Wajarkah IJN di swasta?



Menurut Perdana Menteri,Kerajaan mahukan jaminan daripada Sime Darby untuk meneruskan khidmat kepada golongan berpendapatan rendah jika syarikat itu mengambil alih kepentingan dalam IJN Sdn. Bhd., kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, pengambilalihan itu jika berlaku bukan bermakna kerajaan tidak mampu menanggung kos operasi Institut Jantung Negara (IJN), tetapi mahu melihat hospital yang khusus dalam rawatan jantung itu dapat diperbesarkan dan dipertingkatkan lagi kecemerlangannya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan memastikan rakyat yang berpendapatan rendah akan terus menikmati rawatan di IJN dengan caj yang berpatutan.

"Sekiranya jaminan itu dapat diberikan oleh pihak yang nak mengambil alih, maka mungkin pandangan kita terhadap pengambilalihan ini tidak begitu keras sangat. Ini juga bergantung kepada banyak syarat-syarat lain," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Katanya terdapat beberapa pihak yang menentang cadangan Sime Darby membeli kepentingan dalam IJN, yang dimiliki 99.99 peratus oleh Kementerian Kewangan.

"Andaian mereka sekiranya pusat itu dijadikan milik swasta, bayaran perubatan akan menjadi lebih tinggi dan tidak akan dapat dinikmati oleh golongan tersebut," katanya.

Perdana Menteri memberitahu, jika pengambilalihan itu berlaku, ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan terhadap rakyat malah kerajaan akan membina hospital yang serupa dengan IJN sekiranya ada kemampuan termasuk di luar Kuala Lumpur.

Menurutnya, cadangan pengambilalihan itu perlu diberikan pertimbangan sewajarnya terutama dalam meningkatkan lagi kemampuan IJN daripada segi menyediakan rawatan, ubat dan pakar-pakar yang terbaik.
''Dalam bidang perubatan ini, banyak perubahan yang berlaku dalam erti kata hospital yang kita nak jadikan paling canggih mesti ada alat paling baik begitu juga ubatnya dan pakarnya juga yang terbaik.
"Ini mungkin memerlukan kita membayar gaji lebih, bergantung pada siapa yang memilikinya, jadi banyak kos yang perlu dikeluarkan bagi menambah kekuatan dan keupayaan serta menambah lagi bilangan katil untuk pesakit serta bilik bedah," katanya.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini ramai yang mengandaikan IJN milik kerajaan dan rakyat berpendapatan rendah dapat menikmati rawatan daripadanya hingga menyebabkan mereka bimbang jika ia diuruskan oleh swasta.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan pengambilalihan itu bergantung kepada banyak syarat dan sama ada Sime Darby mampu memenuhi harapan kerajaan.

"Harapan kita adalah agar perkhidmatan hospital yang begitu cemerlang seperti ini akan tetap dapat dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah yang pada hari ini sedang menikmati rawatan seperti itu dengan caj yang berpatutan," katanya.

Konglomerat Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang mengesahkan hasrat untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN), memberi jaminan untuk mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid berkata, aspek tersebut adalah antara tiga syarat yang digariskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dalam surat persetujuan secara prinsipal bagi Sime Darby mengambil alih kepentingan tersebut dalam IJN.

Menurutnya, Sime Darby merupakan pihak yang mengemukakan cadangan rasmi kepada kerajaan mengenai hasrat tersebut beberapa bulan lalu dan bukan kerajaan yang menemui konglomerat itu.

Beliau berkata, syarat lain ialah rundingan mengenai nilai ekuiti pengambil alihan kelak yang memerlukan Sime Darby melaksanakan kajian wajar yang akan dikemukakan semula kepada kerajaan untuk kelulusan.

Syarat terakhir katanya, ialah berkaitan penyediaan pelan perniagaan iaitu perancangan Sime Darby untuk memajukan lagi IJN dalam tempoh lima tahun atau selanjutnya.

''Ini bukan pengambilalihan sebuah syarikat perniagaan ke atas IJN, sebaliknya merupakan perkongsian. Kami hanya mahukan 51 peratus dan bakinya masih dipegang oleh Kementerian Kesihatan.

''Dan mengapa Sime Darby? Ini kerana Sime Darby juga adalah sebuah syarikat rakyat. Kami adalah syarikat milik kerajaan (GLC) dan memiliki 10.5 juta pemegang saham,'' katanya pada sidang akhbar khas di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sebelah pagi, yang mengesahkan khabar angin dalam blog mengenai kemungkinan Sime Darby mengambil alih IJN.

Ahmad Zubir berkata, di pihak Sime Darby, pengambilalihan itu akan mampu membawa sinergi kepada IJN, menerusi kekuatan Bahagian Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sime.

''Kita komited terhadap perkhidmatan sosial kepada mereka yang berpendapatan rendah dan dari sudut Sime Darby, aspek mereka yang berkemampuan akan turut menikmati manfaat.

''Misalnya, jika berlaku katil atau bilik pembedahan penuh di IJN kelak, pesakit tersebut boleh dihantar menggunakan kemudahan kami di Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC) dan dengan doktor yang memiliki kepakaran yang sama,'' jelas beliau.

Menurut beliau, langkah seterusnya ialah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus sebagai formaliti.

Beliau menafikan pihaknya akan membuat rombakan terhadap barisan pengurusan IJN kerana 'mereka kini menguruskan IJN dengan cemerlang'.

Ditanya mengenai pendapat bahawa bila sesebuah institusi kerajaan diambil alih swasta akan menukar kadar caj, Ahmad Zubir berkata, pihaknya komited untuk tidak berbuat demikian.

Ahmad Zubir berkata, langkah mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN adalah sejajar dengan pelan perluasan Bahagian Penjagaan Kesihatan Sime Darby.

Sime Darby kata beliau, mempunyai pilihan untuk membina sendiri pusat perubatan jantung tetapi ia akan memerlukan bertahun-tahun untuk membina nama dan reputasi. Sebaliknya menerusi jenama IJN ujarnya, aspek reputasi tidak menjadi masalah disebabkan IJN sememangnya sudah terkenal sebagai pusat perubatan jantung terulung di rantau ini.

DAN Berikut ialah kenyataan para Pemimpin Negara:

Sekiranya jaminan itu dapat diberikan oleh pihak yang nak mengambil alih, mungkin pandangan kita terhadap pengambilalihan ini tidak begitu keras sangat

–Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri

Syarikat Sime Darby mesti memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh bagi memastikan golongan miskin tidak dipinggirkan

–Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan Perdana Menteri

Kalau kita perhatikan projek-projek lain yang telah diswastakan, bayarannya terus meningkat

–Datuk Dr. Chua Soi Lek
Timbalan Presiden MCA
(Bekas Menteri Kesihatan)

Walaupun IJN kini bertaraf dunia ia masih perlu memberikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan ini merupakan kriteria yang diperlukan

–Khairy Jamaludin
Naib Ketua Pemuda UMNO

Ini bukan pengambilalihan sebuah syarikat perniagaan, sebaliknya merupakan perkongsian. Kami hanya mahukan 51 peratus

–Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby

Walau apa pun jua keputusan kerajaan nanti, apa yang penting kebajikan rakyat haruslah sentiasa mendapat keutamaan bukannya keuntungan. Kerajaan tidak harus memindahkan beban kewangan kepada rakyat memandangkan kos rawatan dan pembedahan untuk penyakit jantung adalah tinggi dan IJN adalah symbol kejayaan bidang perubatan moden Negara di rantau ini. Harus diingat ialah bahawa matlamat Sime Darby sebagai sebuah konglomerat perniagaan dalah bermotifkan keuntungan.

Dan yang penting juga pengambilalihan ini haruslah telus supaya tidak ada pihak ke tiga yang mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada keadaan ini.

Kepimpinan PEMUDA UMNO Malaysia khususnya dan Bahagian Kuala Pilah amnya haruslah peka dan sentiasa berani ke hadapan bersuara membela kebajikan dan kepentingan rakyat.

Tiada ulasan: