Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS) akan menganjurkan Malam Budaya Negeri Sembilan di Dataran Seremban dekat sini pada 28 Disember ini.Presidennya, Khaidir Jamal berkata, program yang turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) itu menyasarkan penyertaan persatuan-persatuan belia di sekitar negeri ini.
Jelas beliau, matlamat utama program berkenaan adalah untuk memupuk semangat cintakan budaya tempatan di kalangan belia.
''Lebih istimewa lagi, beberapa persatuan belia dari Yaman akan hadir menyaksikan Malam Budaya Negeri Sembilan," ujarnya ketika ditemui di sini.
Menurut Khaidir, pihaknya turut menjemput kumpulan artis-artis budaya dari Sumatera Barat, Indonesia untuk membuat persembahan.
Beliau memberitahu, secara tidak langsung program itu membantu mempromosi kegiatan pelancongan di negeri ini.
''Saya dimaklumkan persatuan belia Yaman akan menghantar rencana dan gambar tentang lawatan mereka di sini kepada media cetak di negara mereka.
''Inisiatif itu akan membantu mempromosi destinasi pelancongan di negeri ini secara percuma kepada orang ramai di Yaman," jelasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan