Jumaat, 26 Disember 2008

TAHNIAH PEMUDA UMNO KUALA PILAH

Dalam menghadapi cabaran dan persaingan dunia politik hari ini, Putera UMNO Bahagian Kuala Pilah mengambil inisiatif mewujudkan blog sendiri dan Syukur Alhamdulillah, blog ini telah pun mendapat sambutan yang baik dari warga PEMUDA sendiri mahupun penyokong Pakatan Rakyat. Hari ini 26 Disember genap seminggu blog ini diwujudkan. Pelbagai reaksi telah dilontarkan sama ada yang bersetuju dan menyokong serta yang tidak bersetuju dan tidak menyokong. Ada juga yang sekadar menjenguk blog ini. Terima kasih tak terhingga atas kunjungan, sokongan dan kritikan sahabat-sahabat sekalian. Sidang blogger PUTERA UMNO akan cuba melakukan proses penambahbaikan dan memperbetulkan kesilapan.

Namun, terdapat juga pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan kehadiran blog ini melalui kaedah yang sama iaitu blog. 2 hari lepas, sebuah blog(KOPILAH) telah menjadikan blog ini sasaran terbarunya. Isu ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang warga Pemuda UMNO Kuala Pilah. Saudara PP di dalam postingnya yang bertajuk PEMUDA UMNO KUALA PILAH HAMPEH, telah menyatakan Pemuda UMNO Kuala Pilah terlalu bercita-cita tinggi dan turut mengkritik Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah dengan mengaitkan isu pembelian kereta Toyota Camry di Perak.
Umum mengetahui bahawa blog KOPILAH ini hanya menanti isu dan masalah pemimpin ataupun UMNO itu sendiri dalam Bahagian Kuala Pilah dan akan membuat cerita ataupun komen mengenai perkara tersebut. Tanpa adanya masalah atau kekurangan pada pemimpin ataupun UMNO di peringkat Bahagian mahupun Cawangan, maka tiada lah cerita ataupun komen yang akan keluar dari blog tersebut. Walau bagaimanapun, warga sidang blog PUTERA UMNO KUALA PILAH mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian saudara PP meletakkan blog ini berada dalam senarai blog pautan di blog KOPILAH tersebut.

Terdapat dua isu yang ditimbulkan:

1 - Blog ini terlalu bercita-cita tinggi hingga hanya baru ada satu carita mengenai Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah
2 - Isu YB Tuan Hj Adnan selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah juga menggunakan kereta Toyota Camry
Penjelasan ringkas mengenai isu di atas.

Yang pertama, saudara PP harus faham. Blog ini adalah blog rasmi PUTERA UMNO bukannya PEMUDA UMNO. Putera adalah sayap dalam Pemuda dan hanyalah bertindak tidak lebih sebagai satu biro sahaja. PUTERA UMNO telah dilancarkan oleh YAB Presiden Parti di Melaka pada 2003. Yang menariknya adalah pada nama, nampak seolah-olah satu entiti berasingan. Namun hakikatnya PUTERA hanyalah sebuah biro di dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Negeri mahupun Pusat. Matlamat Putera adalah untuk mendekati golongan remaja dan belia berumur 18-25 tahun untuk bersama berjuang didalam Pemuda UMNO. Maka blog yang dihasilkan oleh sebuah Biro tidak wajar jika keseluruhan entiti PEMUDA UMNO Bahagian dihukum dan dilabel sebegitu dan blog ini juga bertanggungjawab untuk menjaga nama baik Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah. Sidang blogger mencadangkan agar saudara PP memperbetulkan semula kenyataan tersebut.

PUTERA UMNO ingin menegaskan bahawa, bukanlah kami bercita-cita tinggi hingga menyentuh isu nasional. Harus di ingat, kajian telah mendapati dan menunjukkan bahawa prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya umum ke 12 yang lepas adalah berpunca daripada isu Nasional yang tidak ditangani dengan baik seperti kenaikan harga minyak, barang dan juga masalah ketelusan dalam pentadbiran kerajaan termasuk isu perundangan dan kehakiman.

Apa pula matlamat blog ini diwujudkan? Berikut ialah matlamat kewujudan Blog Putera UMNO ini dan matlamat ini ada di dalam profail kami:
"Perjuangan kami mudah sahaja, bergerak dalam sayap Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah iaitu PUTERA UMNO, kami akan sentiasa kehadapan membela UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Kelemahan dan kekurangan Pakatan Rakyat menjadi sasaran kami."

"Jika selama ini pemimpin serta Kerajaan Barisan Nasional asyik dipersenda dan dipersalahkan sedangkan rakyat termasuk orang Pakatan Rakyat menikmati kehidupan bahagia dalam Negara ini hingga boleh menjadi kaya raya tetapi tidak bersyukur dengan menyalahkan kerajaan sahaja dalam apa-apa masalah atau situasi, kami nak buktikan bahawa terdapat lebih banyak kelemahan, kekurangan dan kesilapan dalam Pakatan Rakyat dan padahnya jika memilih Pakatan Rakyat dan membiarkan mereka membentuk Kerajaan Negeri mahupun Pusat".
Blog ini tidak memfokus kepada UMNO Bahagian itu sendiri. Matlamat kami telah pun jelas apa yang kami cari dan ingini. Walaubagaimanapun, dari masa ke semasa, blog ini akan cuba menyampaikan maklumat mengenai perkembangan semasa Pemuda UMNO di peringkat Cawangan mahupun Bahagian serta mana-mana ahli UMNO ataupun sesiapa juga yang ingin artikel silalah email ke puteraumnopilah@gmail.com. InsyaAllah selagi mana bahan tersebut tidak bertujuan peribadi ataupun menggunakan ayat-ayat yang kasar atau lucah, pastinya akan disiarkan seperti komen-komen pengunjung sama sekali tidak pernah di padam selama satu minggu ini.

Isu yang kedua terlalu remeh untuk dibangkitkan. Masaalah pembelian kereta Toyota Camry di Perak dan Selangor adalah isu melibatkan Kerajaan Negeri. Wang yang digunakan adalah WANG RAKYAT. Maka masalah ini yang dibangkitkan. Adakah dendam politik Pakatan Rakyat kepada UMNO menyebabkan Proton menjadi mangsa kerana Syarikat Proton diilhamkan oleh pemimpin UMNO YABhg Tun Dr Mahathir Mohamed. YB Tuan Hj. Adnan Abu Hasan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah menggunakan kereta Toyota Camry sebagai kenderaan persendirian dan membelinya dengan duit sendiri dan apa yang lebih penting di beli sebelum Pilihan Raya umum ke 12 hari itu di mana beliau sendiri pun tidak tahu akan dicalonkan lagi sebagai calon BN bagi kerusi DUN Pilah. Salahkah pembelian secara individu untuk kegunaan peribadi dan rasmi.

Semoga maklumat dan penjelasan ini dapat menjelaskan segalanya.

Sekian, salam hormat.

Sidang Bloggers PUTERA UMNO KUALA PILAH

3 ulasan:

Unknown berkata...

PP memang suka mencari publisiti murahan.

Cuba cek blog dia, semua pemimpin UMNO cawangan @ Bahagian yang dia tak suka atau ada isu pasti jadi bahan kritikan dia. Suka2 hati je.

Kalau dia hebat, jadilah pemimpin dulu. Kat cawangan pun dah tak boleh control, bercita-cita nak cakap pasal bahagian.

Cuba cek ada satu tajuk yang kedua @ ke tiga baru dalam blog KOPILAH, bila saudara Kamaruzaman Kamdias(KK) tinggal komen dan puji je blog dia terus dia puji KK ni hebat, berani bawa perubahan bertanding naib ketua bahagian. Masalahnya, pertandingan di bahagian Kuala Pilah pada 2hb 11 dah sebulan lebih berlangsung. Kenapa sebelum bertanding tak ucap tahniah siap2.

Siap add blog KK kat blog dia.

PP ni kaki ampu. Bagi projek @ jawatan diam la dia. Orang kecewa macam nilah.

Saya yakin orang macam ni depan YB2 semuanya elok,baik dan puji2. Kalau cakap pun lembut, kritik sikit2 tu pun kalau berani.

Cakap belakang2 sudah la PP, kalau kau je yang betul, bila2 free pergi jumpa semua YB Dalam Parlimen Kuala Pilah ni, bawak proposal ko ,suruh YB2 ni dengar dan ikut apa yang ko cadang tu.

Asyik menghentam peribadi orang jela kerja kau. Betul juga rasanya ada komen menyatakan PP ni dibayar untuk buat blog sebab tak semua orang UMNO dia berani kritik walaupun dah terang2 orang tu ada isu atau masalah di cawangan atau bahagian.

Tanpa Nama berkata...

PP yang HAMPEH sebenarnya

Tanpa Nama berkata...

Saya beranggapan kritikan PP pd blog ini, ada asas kebenarannya. Dalam blognya pula beliau membuat analisa menurut pandangannya sendiri, ini harus dihormati kerana beliau menggunakan kebijaksanaannya untuk membuat komentar, walaupun kekadang bahasanya terlalu kasar. Blog putera walau baru diujudkan, ia nampak lari jauh tersasar, mungkin terlalu bersemangat untuk membongkar kepalsuan pembangkang, sehingga terlupa kepada hujjah dan fakta. Saya setuju dengan posting rakan lain, dalam keghairahan untuk membongkar, jangan lupa adab dan susila harus diutamakan, anda tidak perlu ambil rencana yang lain, cuba buat pemberitaan sendiri, dan cari sumber yang betul supaya tidak timbul fitnah, kes mengaitkan Anwar dengan Liwat sudah tidak dapat diterima rakyat, ini realiti sekarang, sebab itu UMNO dan BN mengalami kemerosotan yang ketara, ini harus disedari. Kembalikan keyakinan orang-orang Melayu dengan UMNO.