Rabu, 24 Disember 2008

"Marahkan Nyamuk Kelambu Dibakar" v "Tidak Patut Selepas Kaut KEKAYAAN"

Bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim tidak sepatutnya menyertai PAS selepas mendapat kekayaan selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam Umno, dakwa seorang pemimpin Pemuda Umno Selangor.

"Tidak seharusnya beliau masuk PAS setelah mendapat kekayaan dan manfaat daripada parti (Umno)," kata exco penerangan Pemuda negeri Nor Azman Mohd Nor.

"Selama lebih 20 tahun beliau berkhidmat dalam parti dan mendapat manfaat daripada parti. Beliau sepatutnya mengenang budi dan jasa (Umno)."

Mengulas tindakan Umno awal bulan ini yang didakwa punca Zahar meninggalkan parti itu, Nor Azman berkata penggantungan Zahar selama tiga tahun bukan diambil sewenang-wenangnya.

"Selama 62 tahun, Umno tidak membuat keputusan sewenang- wenangnya, mesti ada sebab-musabab," katanya, yang juga ketua Pemuda Umno bahagian itu penggal lepas.

Selain mendedahkan isu kontrak pembelian helikopter Eurocopter, Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian mulai 2 Disember kerana mengkritik pemimpin utama parti termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa.

Menurut Nor Azman lagi, tindakan Zahar mendedahkan isu pembelian Eurocopter oleh Kementerian Pertahanan bersifat peribadi dan ia di luar pengetahuan ahli-ahli jawatankuasa bahagian.

"Tindakan Majlis Tertinggi (menggantung beliau) perlu kerana ia boleh merosakkan parti dan (merupakan) satu kesalahan. Ahli Umno perlu setia kepada parti," katanya kepada Malaysiakini.
Tidak wajar Zahar meninggalkan Umno dan mengajak sebahagian penyokongnya turut menyertai PAS, tambahnya.

"Tindakan keluar parti dan menyertai PAS, dan meninggalkan ahli adalah satu tindakan peribadi yang tidak patut dilaksanakan," kata Nor Azman, sambil menjelaskan beliau tidak ada permusuhan atau perselisihan faham dengan bekas ketuanya itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin bahawa ahli-ahli Umno bahagian tidak terpengaruh untuk bersama-sama dengan mantan ketua bahagian itu kerana menyifatkan mereka sudah berfikiran matang.

Dalam ucapannya hari ini sewaktu menyerahkan borang kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini, Zahar berkata 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan akan mengikut jejak langkahnya.

Umno Petaling Jaya Selatan mempunyai 38 ahli jawatankuasa bahagian dan 101 cawangan dengan jumlah keanggotaan lebih kurang 20,000 orang.

Nor Azman juga menjelaskan, bahawa Zahar tidak sepatutnya menyertai PAS tetapi "sepatutnya dia tubuh parti baru".

"Beliau boleh bercakap apa yang beliau suka, dan buat apa yang beliau suka. Selama ini beliau hentam PAS, lepas tu (sekarang) jilat ludah balik," tambahnya.

PUTERA UMNO melihat situasi ini tidak lebih daripada manifestasi kekecewaan seorang pemimpin. Didalam hatinya sayang UMNO, tetapi dendam mengatasi segalanya. Mengapa atas kekecewaan dan perasaan tidak berpuas hati harus kita libatkan semua pihak. Di dalam kenyataanya jelas ada sesuatu dianatar beliau dengan Dato Seri Khir Toyo, Tan Sri Muhamad Mod Taib bagi peringkat Selangor dan YAB Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dan YAB Dato Seri Najib Tun Razak di peringkat Pusat.

Harus menjadi persolanya juga, mengapa baru hari ini beliau keluar UMNO, mengapa tidak ketika dipecat tempoh hari? Adakah sebab kekayaannya disekat atau ada sesuatu yang lain? Mengapa pula PAS jadi pilihan? Keadilan tidak ISLAM ke?

Beliau tidak cukup hebat pun sebenarnya, kekuatan dan peranguhnya di Bahagian hanyalah sedikit. Kalau Kuat, satu Bahagian UMNO akan turut sama dan menjadi lumpuh. Tun MAHATHIR YANG BEGITU KUAT dan berpengaruh juga keluar UMNO, tetapi tidak menyertai parti pembangkang dan akan kembali semula kepada UMNO selepas Pak Lah letak jawatan. Ini semua masalah peribadi. UMNO Sebuah Parti. Kami sayangkan PARTI bukanya pemimpin. Jasa pemimpin sentiasa dihargai dan dikenang. Pemimpin datang dan pergi.

Bangganya PAS dapat guna bangunan UMNO yang akan diberi oleh Datuk Zahar ini. Siap umum dalam harakahdaily.net lagi.

Ingat, Datuk Zahar dapat kekayaan atas tiket UMNO samapi mampu buat bangunan sendiri. PAS dan Pakatan Rakyat suka tuduh UMNO rasuah, jadi kalau guna bangunan dibina pemimpin UMNO, mungkinkah bangunan itu hasi rasuah? Kalau ya, PAS guna wang hasil rasuah juga ke?

Jangan dilupa lebih ramai tokoh besar Keadilan dan PAS masuk UMNO berbanding tokoh besar UMNO masuk Keadilan dan PAS. Rata-rata pemimpin UMNO yang kecewa akan keluar parti dan tubuh parti baru. Mengapa? Mesti ada sebab yang lebih baik bagi mereka dari masuk PAS.

"Statement Datuk Zahar, setelah puas merasai nikmat kekayaan, tiada apa lagi yang saya cari selain berjuang dijalan yang diredhai Allah iaitu bersama PAS". Fahami secara mendalam ayat ini. Dari mana kekayaan beliau perolehi? Habis Madu Sepah Dibuang! Mungkinkah beliau meraih pelbagai sumber kekayaan dari jawatan beliau? Akhirnya Nama UMNO juga yang buruk dengan pelbagai tuduhan akibat perangai pemimpin. Beliau dengan senang hati pergi begitu sahaja!

Maka PUTERA UMNO yakin, apabila wang Datuk Zahar kian berkurangan, beliau akan merayu untuk masuk UMNO semula. Inilah masalah UMNO, suka terima pengkhianat Parti. Datuk Zaid Ibrahim masih lagi mengaut kekayaan dalam pelbagai jawatan sebagai penasihat undang bagi institusi-institusi kerajaan sekarang. Pemimpin UMNO terlalu baik hati.

3 ulasan:

tibyan berkata...

KEMASUKAN Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato' Zahar Hashim beserta 13 orang AJK bahagian dan 28 orang Ketua Umno cawangan hari ini merupakan suatu detik yang bersejarah bagi PAS Selangor.

Kapten Zahar digantung jawatannya oleh Majlis Tertinggi Umno berikutan kelantangannya membuat teguran terhadap kepimpinan parti yang didokonginya selama 26 tahun.

Lapan bulan masa diambil untuk berbincang mengenai pro dan kontra menyertai parti pembangkang (yang sudah menjadi kerajaan di Selangor) sesama rakan-rakan Umno di PJ Selatan.

Hakikatnya bagi Zahar, Umno hari ini sudah lari daripada perjuangannya untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam. Umno sudah lari daripada landasan asal perjuangannya.

26 tahun menganggotai Umno, sebagai Ketua Bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri, banyak lagi faedah, kemudahan sebagainya telah dinikmati beliau dan rakan-rakan. Tiada maknanya lagi kepentingan material bagi beliau.

Keputusannya menyertai PAS tidak didorong sesiapa, tiada permintaan apa-apa, tiada tawaran apa-apa, katanya beliau sudah lama memikirkannya, sejak Mac 2008 lagi.

Beliau dan rakan-rakan yang menyertai PAS, hanya mahu mencari redha Allah dan berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara melalui PAS.

Walaupun mungkin kemasukan Zahar dan rakan-rakanya ke dalam PAS, tidak boleh dijadikan kayu ukur yang menyebabkan kecacatan menyeluruh kepada Umno, namun tidak mustahil ia boleh menjadi titik tolak kepada kemusnahan Umno Selangor.

Kemasukan Zahar adalah manifestasi daripada kelesuan dan kegagalan kepimpinan Umno dari peringkat nasional hingga ke peringkat negeri,

Zahar dan rakan-rakan tidak lagi yakin, Umno layak menjadi platform bagi memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa.

Kemasukan zahar membeli implikasi bahawa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan penggantinya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, adalah pemimpin yang gagal.

Gagal meyakinkan mereka untuk terus kekal dalam Umno. Abdullah gagal sebagai PM dan Presiden Umno. Najib juga gagal menampilkan diri sebagai bakal PM dan bakal Presiden yang boleh mengemudi kapal Umno.

ImageKemasukan Zahar juga adalah hasil daripada kelemahan kepimpinan Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai Pengerusi Umno Selangor, sebelum diambil alih oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Jika Umno Selangor pun Khir tidak mampu mengemudikannya, bagaimana beliau mampu untuk memenangi pertandingan Ketua Pemuda?

Dan jika Muhammad tidak mampu meyakinkan Umno Selangor untuk tidak berpecah atau menyertai parti lain, bagaimana Muhammad boleh meyakinkan perwakilan Umno seluruh negara untuk mengundinya ke jawatan Timbalan Presiden?

Tindakan Zahar dan rakan-rakannya ibarat membunuh dua ekor burung dengan satu busar panah sahaja.

Umno di peringkat nasional 'terpalit tahi', manakala Umno Selangor 'tersembam ke lubuk'.

Zahar dan rakan-rakannya juga menyebabkan Khir Toyo dan Muhammad Taib terpaksa 'menanggung malu' dengan rakan-rakan Umno seluruh negara kerana kegagalan kepimpinan mereka.

Kemasukan Zahar ke dalam PAS bukan perkara kecil. Ianya amat besar bagi Umno, besar bagi PAS juga.

Zahar, 13 AJK bahagian, 28 Ketua Cawangan, mereka bukan keseorangan, mereka ada pengaruh dan pengikut. 26 tahun Zahar dalam Umno, bermula dengan mengetuai bahagian Puchong, sudah tentu beliau cukup dikenali dan ramai rakan-rakan.

Sudah tentu beliau mengenali dan amat arif dengan kepimpinan Umno Selangor, malah beliau juga punyai rakan-rakan Umno dari seluruh negara.

Maka mengambil semangat Maal Hijrah pada 1 Muharram 1430 (29 Disember) ini, Zahar dan rakan-rakannya boleh mula 'berdakwah' dengan mengajak rakan-rakan yang lain sama menyertai PAS.

Bukan sekadar mengajak untuk menyedarkan mereka tentang kepincangan kepimpinan Umno sahaja, malah mengajak mereka untuk mencari redha Allah, berjuang tanpa memikirkan kepentingan diri secara individu.

Bahawasanya duduk di dalam PAS tidak menjanjikan apa-apa kepentingan atau kemewahan dunia.

Jika jawatan diperolehi, ianya adalah amanah. Jika wang ringgit diperolehi, ianya adalah untuk menjadikan kita lebih dermawan untuk membuat pelaburan di akhirat sana.

Marilah sama-sama kita berhijrah untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Ahlan Wasahlan Wa Marhaban bikum!

Tanpa Nama berkata...

Zahar sertai Pas, UMNO tak rugi malahan bersyukur
December 24, 2008 by admin

Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini. Turut hadir pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Alahamdulillah akhirnya jelas dan nyata bahawa perjuangan Datuk Zahar sebenarnya bukanlah kerana UMNO tetapi kerana kepentingan diri sendiri, UMNO juga merasa lega kerana orang macam Zahar kini tidak berada dalam UMNO dan Insyaalah Pas juga akan menghadapi masalah yang sama apabila kumpulan Datuk Zahar menyertai PAS.

UMNO tidak merasa kerugian hilang orang macam Datuk Zahar yang mementingkan diri sendiri dan setelah mengaut keuntungan dalam UMNO kini menyertai PAS pula. Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Zahar berkata beliau akan bersama jentera PAS untuk membantu kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, yang berlangsung antara 6 sehingga 17 Januari ini. Tambahnya, beliau akan mula berkampung di kawasan itu sepanjang kempen mulai 5 Januari, sehari sebelum penamaan calon. Kapten tentera bersara juga menafikan tindakan penggantungan yang diambil oleh Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu sebagai punca yang menyebabkan beliau melompat parti. Sejak keputusan pilihanraya umum 8 Mac lepas yang menyaksikan ketewasan besar BN di beberapa negeri termasuk Selangor, kata Zahar lagi, beliau bersama para penyokongnya sering memikirkan untuk meninggalkan Umno.

Eloklah jika zahar menyertai PAS dan orang yang seperti Zahar ini sememengnya tidak layak pun bersama UMNO.

Tanpa Nama berkata...

ramai lg ke orang yang masuk umno untuk kepentingan peribai??